nuffnang

Wednesday, 19 October 2011

Karangan Jenis Perbincangan

Tidur lewat merupakan amalan yang tidak baik. Bina satu karangan untuk menyatakan kenapa murid-murid mesti tidur awal.

Pendahuluan : Tidur sebahagian daripada rehat – murid perlu tidur 8 jam sehari.

Isi-isi : Dapat bangun awal – cukup masa bersiap-sedia ke sekolah.

: Tidur lewat mengantuk dalam kelas – otak tidak dapat berfikir

dengan sempurna.

: Kesihatan terganggu – cepat berasa letih.

: Dapat menguruskan diri dengan baik – badan sentiasa segar.

Penutup : Tidur awal perlu diamalkan – kesihatan terjaga.

Tidur merupakan sebahagian daripada rehat. Tidak dapat dinafikan bahawa tidur lewat banyak keburukannya. Oleh itu, setiap murid mestilah tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari.

Apabila tidur lewat, sudah tentu sukar untuk bangun pagi. Jika bangun lewat pula akan timbul keadaan tergopoh-gapah untuk ke sekolah. Dengan itu, murid-murid mesti tidur dan bangun awal supaya mempunyai cukup masa untuk bersiap-sedia ke sekolah.

Mereka yang tidur lewat akan mengantuk di dalam kelas. Apabila perkara ini timbul, segala ajaran guru bagaikan mencurah air ke daun keladi.Ini adalah kerana otak sudah tidak dapat berfikir dengan baik.

Jika tidur lewat, kesihatan kita akan terganggu sedangkan kesihatan penting untuk proses tumbesaran diri seseorang. Mereka yang tidur lewat juga akan cepat berasa letih dan tidak bermaya.

Tidur lewat merupakan amalan yang tidak baik. Murid yang cukup tidur dapat menguruskan diri mereka dengan baik berbanding yang tidak cukup tidur. Selain itu, badan mereka sentiasa sihat dan segar.

Dengan demikian, murid-murid patut mengamalkan tabiat tidur awal supaya kesihatan mereka terjaga.

Tinggal di bandar adalah lebih baik daripada tinggal di kampung. Bincangkan.

Pendahuluan : Kebanyakan orang suka tinggal di bandar – kehidupan selesa.

Isi-isi : Rumah di bandar lebih selesa – banyak kemudahan.

: Ke destinasi dengan cepat – terdapat pengangkutan awam.

: Banyak tempat menarik – tambah ilmu pengetahuan.

: Kemudahan perpustakaan awam – banyak kedai buku.

Penutup : Kampung semakin maju, tetapi ramai orang masih suka tinggal di

bandar.

Kebanyakan orang suka tinggal di bandar. Bagi mereka, terdapat banyak kemudahan di bandar yang menjadikan kehidupan mereka lebih selesa. Walau bagaimanapun, terdapat juga sesetengah orang yang suka tinggal di kampung.

Bagi diri saya, tinggal di bandar lebih baik daripada tinggal di kampung. Rumah-rumah di bandar lebih selesa. Tambahan pula, ianya dilengkapi dengan bekalan air paip, elektrik dan telefon. Pada masa sekarang masih terdapat kampung-kampung yang tiada kemudahan tersebut.

Di bandar, kita dapat ke destinasi yang hendak dituju dengan cepat dan mudah. Pengangkutan awam seperti bas dan teksi memudahkan kita bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Selain itu, jalan di bandar lebih luas tidak seperti di kampung yang tidak begitu sempurna.

Di bandar-bandar besar, terdapat banyak tempat menarik seperti muzium, zoo, planetarium negeri dan sebagainya untuk dilawati. Bagi orang yang tinggal di bandar, mereka boleh ke tempat tersebut bila-bila masa sahaja untuk menambahkan ilmu pengetahuan.

Di bandar juga terdapat kemudahan seperti perpustakaan awam yang dilengkapi dengan berbagai-bagai jenis buku. Kedai-kedai buku juga lebih banyak terdapat di bandar.Ini bermakna bahan bacaan di bandar lebih banyak berbanding dengan di kampung.

Kesimpulannya, tinggal di bandar adalah lebih baik daripada tinggal di kampung. Walaupun kampung semakin meningkat maju tetapi orang ramai lebih suka tinggal di bandar.

Air mempunyai banyak kegunaannya. Bincangkan.

Pendahuluan : Air adalah anugerah yang tinggi nilainya.

Isi-isi : Untuk manusia, haiwan dan tumbuhan.

: Perlombongan – memecah dan memisahkan tanah dengan timah.

: Untuk petani – siram tanaman.

: Sumber tenaga – menjanakan kuasa elektrik.

Penutup : Mesti jimat menggunakan air.



Air merupakan anugerah Tuhan yang tinggi nilainya. Bayangkanlah, bagaimanakah jika kita tidak memperolehi setitik air dalam sehari? Tentulah kita akan berasa lesu dan tidak bermaya.

Air sangat diperlukan oleh hidupan di muka bumi ini. Manusia memerlukan air untuk dibuat minuman, membersihkan diri dan membasuh pakaian. Haiwan pula memerlukan air untuk minuman manakala bagi tumbuhan, air amat penting untuk proses fotosintesis.

Pelombong-pelombong memerlukan air untuk mendapatkan hasil galian mereka. Air digunakan untuk memecah dan memisahkan tanah dengan timah. Kegiatan ini dapat dilihat melalui penggunaan kapal korek, pam kelikir dan palung.

Air juga diperlukan oleh para petani untuk menyiram tanaman mereka supaya hidup dengan subur. Tanpa air, tanaman mereka akan mati kekeringan.Ini akan menyebabkan kerugian dan boleh menjejaskan mata pencarian mereka.

Kita tidak dapat menafikan bahawa air juga boleh dijadikan sumber tenaga.Ini adalah kerana, air deras yang turun dari empangan digunakan untuk memusingkan tubin. Pusingan ini boleh menghasilkan tenaga elektrik.

Sebagai pengguna, kita haruslah memanfaatkan air dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, elakkan daripada terjadinya pembaziran.

Belajar berkumpulan lebih baik daripada belajar bersendirian. Bincangkan.

Pendahuluan : Satu cara belajar yang berkesan ialah secara berkumpulan –

boleh diadakan di mana-mana.

Isi-isi : Dapat bertanya rakan sesuatu yang tidak difahami.

: Melatih mengeluarkan pendapat – dapat bertukar-tukar nota dan

pendapat.

: Tidak jemu atau mengantuk.

: Saling bantu-membantu dan bekerjasama – eratkan hubungan.

Penutup : Pilih rakan kumpulan yang sesuai.

Salah satu cara belajar yang berkesan ialah belajar secara berkumpulan. Biasanya belajar berkumpulan dilakukan pada masa lapang di tempat yang sunyi supaya tiada gangguan.

Sesetengah murid lebih suka belajar bersendirian tetapi yang sebaik-baik cara ialah belajar berkumpulan.Ini kerana, mereka dapat bertanya rakan yang lebih berpengetahuan jika mereka tidak memahami sesuatu.

Selain itu, murid-murid juga dapat melatih diri mereka mengeluarkan pendapat iaitu dengan cara bertukar-tukar nota dan pendapat masing-masing sesama rakan mereka.

Jikalau murid-murid belajar bersendirian, sudah tentu mereka cepat berasa jemu dan mengantuk. Justeru itu, mereka digalakkan belajar berkumpulan kerana ia bukan sahaja tidak membosankan malah lebih menyeronokkan.

Apabila murid-murid belajar berkumpulan, tentulah wujud sikap saling bantu-membantu dan bekerjasama dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Secara tidak langsung, sikap ini akan mengeratkan lagi persahabatan di antara mereka.

Kesimpulannya, belajar berkumpulan adalah lebih baik daripada belajar bersendirian. Namun begitu, pilihlah rakan kumpulan yang sesuai yang boleh membantu murid-murid meningkatkan prestasi pelajaran.

Karangan Autobiografi dan Biografi

Karangan Jenis Autobiografi

1. Karangan jenis ini biasanya memerlukan kamu membayangkan diri anda sebagai sesuatu benda secara terperinci.

2. Ada yang mengisahkan riwayat hidup penulis sendiri dari awal hingga akhir.

3. boleh ditulis dalam bentuk cerita atau penerangan / rencana

4. Aturan membina karangan

· tempat asal - nama - dilahirkan di mana - proses pembuatan - dibungkus

· perjalanan dari kilang hingga ke tempat pameran - di mana dipamerkan - bertukar milik

· proses penggunaan dengan tuan baru - akhir hayat

· perasaan - sedih atau gembira

5. boleh gunakan dialog untuk bercakap sesama rakan , bukan dengan manusia.

6. paparkan nilai-nilai murni

Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk ‘Aku Sebuah Basikal’.

Pengenalan berasal dari Jepun

dibuat di sebuah kilang besi waja

terdiri daripada besi waja, getah dan plastik

Perenggan ke-2 disebut basikal

dipamerkan

berasa sungguh gembira

Perenggan ke-3 menaiki sebuah kapal dagang

berasa sungguh bangga

Perenggan ke-4 nasib malang

kapal karam

dijumpai oleh penyelam

dijual sebagai besi buruk

Penutup menjadi bahan terbuang

kesal kerana tidak dapat berbakti

Aku berasal dari ‘Negara Matahari Terbit’. Aku dibuat di sebuah kilang besi waja yang tidak besar. Badanku terdiri daripada besi waja, getah asli, kaca dan plastik.

Apabila badanku telah siap dibuat, aku disebut basikal. Aku dan kawan-kawanku yang lain dipamerkan di sebuah bilik pameran. Aku berasa sungguh gembira kerana ramai orang memuji kecantikanku.

Tidak lama kemudian aku dan kawan-kawanku menaiki sebuah kapal dagang. Aku berasa sungguh seronok apabila mendapati kami akan dihantar ke Malaysia. Melalui perbualan dua orang kelasi kapal itu, aku mendapati ramai kanak-kanak di Malaysia ingin memilikiku. Aku semakin bangga.

Nasib kami sungguh malang . Kapal kami karam. Aku dan kawan-kawanku lemas. Setahun kemudian, aku dijumpai oleh seorang penyelam. Waktu itu badanku sudah berkarat. Penyelam itu membawa aku dan kawan-kawanku ke kedai yang membeli besi buruk. Aku dijual di situ.

Aku berasa sungguh kesal kerana aku telah menjadi bahan terbuang sebelum sempat mencurahkan baktiku kepada orang Malaysia.

Tajuk : Aku sehelai baju

Aku dilahirkan di sebuah butik terkenal di ibu kota. Selepas dilahirkan, aku dipakaikan pada sebuah patung dan diletakkan di dalam cermin. Tanda harga yang terlekat di badanku menunjukkan RM 350.

Setelah lima hari berada di situ, aku telah dibeli oleh seorang gadia bernama Linda. Linda memakaiku pada majlis hari jadinya. Sebaik sahaja kawan-kawan Linda melihat diriku mereka semua memuji kecantikan yang aku miliki.

Selang beberapa bulan, Linda ingin memakaiku sekali lagi. Apabila melihat badanku berkedut, dia mengambil seterika lalu menggosokku.

Ketika badanku diseterika, telefon berdering. Linda berlari meninggalkan aku sehingga terlupa untuk menutup suis seterika. Badanku mula terasa panas. Aku cuba menahan keperitan, tetapi akhirnya aku hanya mampu menangis kerana terlampau sakit. Lama-kelamaan sebahagian badanku terbakar.

Apabila terhidu bau benda terbakar, Linda tergesa-gesa mendapatkanku. Tetapi sudah terlambat kerana aku tidak boleh diselamatkan lagi. Kini aku hanya menjadi penghuni setia almari usang.

Karangan Jenis Biografi

Karangan jenis ini mengisahkan perihal riwayat hidup orang lain dari mula hingga ke akhir antaranya :

· tokoh-tokoh sejarah

· pemimpin tanahair

· tokoh sukan

· dan lain-lain

Dalam menulis karangan jenis ini, aspek latar belakang, riwayat hidup, pendidikan, sumbangan, kejayaan dan jasa-jasa seseorang itu diambil kira sebagai isi karangan.

Anda harus tahu benar tentang watak yang hendak ditulis itu dari awal hingga ke akhir.

Kamu tidak digalakkan menulis perkara-perkara yang sensitif sehingga boleh menimbulkan keaiban atau menjatuhkan maruah orang yang ditulis.

Soalan

Pada cuti semester yang lalu anda telah tinggal bersama-sama Pak Cik anda. Pak Cik anda itu penoreh getah. Ceritakan kehidupan seharian Pak Cik anda itu dalam bentuk karangan.

Pengenalan rumah Pak Cik tidak jauh dari kebun getah

kepunyaan sendiri

Perenggan ke-2 keluar dari rumah awal pagi

menunggang basikal

Perenggan ke-3 memakai topi berlampu suluh

kerana masih gelap

menoreh dari sebatang pokok ke sebatang pokok

Perenggan ke-4 susu getah dikumpul

dimasukkan ke dalam baldi kecil

dipindahkan ke sebuah tangki besar

Penutup kerja siap pada pukul 12.00

hantar susu getah ke pusat penjualan

Pak Cik saya penoreh getah. Rumahnya tidak jauh dari sebuah kebun getah. Kebun getah itu kepunyaan dirinya sendiri.

Setiap hari, pagi-pagi lagi dia sudah keluar dari rumahnya untuk pergi menoreh. Dia menunggang sebuah basikal.

Pak Cik saya memakai topi yang berlampu suluh di kepalanya. Tujuannya supaya kerja-kerja menoreh getah dapat dilakukan walaupun keadaan masih gelap. Dia menoreh getah dari sebatang pokok ke sebatang pokok getah yang lain sehinggalah kerja-kerja menoreh itu selesai dijalankan.

Sejam kemudian, pakcik saya akan mengumpul susu getah yang telah bertakung di dalam sebuah mangkuk setiap pokok getah yang ditorehnya tadi. Susu getah dikumpul ke dalam sebuah baldi kecil. Apabila baldi kecil itu penuh, dia akan memindahkan susu getah itu ke dalam sebuah takungan besar.

Lebih kurang pukul 12.00 tengah hari, pekerjaan itu pun selesai. Pak Cik saya akan menghantar susu getah yang telah terkumpul itu ke pusat penjualan.

Karangan Jenis Peribahasa

Karangan Jenis Peribahasa

1. Peribahasa merangkumi simpulan bahasa , perumpamaan , pepatah , dan bidalan.

2. Sebelum menulis karangan jenis ini, anda perlu memahami maksud peribahasa itu sejelas-jelasnya.

3. Kalau karangan ini ditulis dalam bentuk cerita, cerita itu hendaklah mempunyai pertalian dengan peribahasa itu. Sebaik-baiknya, cerita mengandungi nilai-nilai murni.

4. Kalau karangan ini ditulis dalam bentuk penerangan , maksud peribahasa itu perlu dihuraikan terlebih dahulu. Kemudian jelaskan fungsi dan kepentingannya di dalam masyarakat.

Biar Lambat Asalkan Selamat

Pengenalan maksud peribahasa

Perenggan ke-2 sesetengah orang tidak sabar dalam sebarang pekerjaan

Perenggan ke-3 contoh seorang pemandu kenderaan

pandu laju kerana mahu cepat sampai ke destinasinya



Perenggan ke-4 berlaku perkara yang tidak diingini

menyesal

Penutup peribahasa ini merupakan contoh yang baik dalam kehidupan seharian

sentiasa selamat kalau mengamalkan peribahasa ini

Peribahasa ‘Biar Lambat Asal Selamat’ membawa maksud sesuatu pekerjaan yang hendak dibuat biarlah dibuat dengan cermat dan berhati-hati supaya pekerjaan itu berhasil dengan baiknya.

Ada setengah-setengah orang tidak mahu sabar dalam membuat sebarang pekerjaan. Mereka mahu segera menyiapkan pekerjaan itu tanpa menghiraukan akibatnya.

Sebagai menghuraikan peribahasa di atas , saya akan mengambil contoh seorang pemandu kenderaan. Pemandu itu memandu kenderaannya dengan laju kerana dia ingin segera sampai ke tempat yang hendak ditujunya. Tanpa disedari, perbuatannya itu berbahaya kepada dirinya sendiri dan juga orang lain.

Sekiranya dalam perjalanan itu, sesuatu perkara yang tidak baik berlaku ke atas dirinya misalnya kemalangan , pemandu itu akan menyesal kerana perbuatannya itu. Ketika itulah dia akan terfikir perkara itu tidak akan terjadi jika dia sabar dan cermat ketika memandu.

Peribahasa di atas adalah satu contoh yang paling baik dalam kehidupan kita seharian. Orang yang selalu mengamalkan peribahasa ini akan sentiasa selamat dalam setiap pekerjaan yang dilakukannya.

Bahasa Melayu Bahagian C

Nilai murni atau pengajaran

1. Menjaga keselamatan buku
2. Memberi bantuan/tolong-menolong
3. Berdikari dengan membuat sendiri
4. Rajin membantu keluarga
5. Menjaga kebersihan
6. Mengisi masa lapang
Bahasa Melayu Bahagian C
Post
Contoh jawapan

Nilai-nilai murni dan pengajaran yang terdapat dalam petikan di atas ialah kita hendaklah menjaga keselamatan buku dengan membalut buku. Selain itu, kita mestilah mengamalkan sifat pemurah dengan memberikan bantuan dan bekerjasama antara satu sama lain. Seterusnya,kita haruslah menjaga kebersihan diri dan persekitaran supaya kelihatan bersih dan ceria.Di samping itu, kita seharusnya menolong ahli keluarga untuk meringankan bebanan mereka. Di samping itu juga,kita sepatutnya tidak membuang masa dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah. Akhir sekali, kita sepatutnya menjadi seorang insan yang bertanggungjawab kepada diri dan keluarga.
Back to top

Tip UPSR: Jawapan tepat bantu calon cemerlang Bahasa Melayu Penulisan

BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam kabut sebelum menduduki peperiksaan, calon dinasihatkan datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan.

Persediaan awal itu penting kerana untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu benar-benar bersedia dan tenang bagi memudahkan mendapat idea bernas ketika menulis karangan.

Sebagai peringatan, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan pembinaan ayat, Bahagian B pula karangan, manakala Bahagian C berkaitan ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti dijawab.

(a) Bahagian A

1. Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan peruntukan 10 markah.

2. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana calon perlu melakukan empat langkah, iaitu.

a. Langkah pertama

Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A ada tiga, iaitu “tentang”, “aktiviti” atau “situasi”.

Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam gambar. Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat “Cara-Cara Melintas Jalan Raya Dengan Selamat”. Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat.

Walau apapun kunci soalan yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar memulakan ayat dengan subjek (watak).

b. Langkah kedua

Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar.

Antara caranya ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang berkaitan. Senaraikan seberapa banyak kata kerja yang ada.


c. Langkah ketiga.

Calon mula membina ayat berdasarkan kata kerja yang telah disenaraikan.

Dinasihatkan agar calon membina ayat lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat dengan subjek (watak).

Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di mana, bagaimana, mengapa dan bila).

Contoh:

Watak Kata Kerja Maklumat

Beberapa orang murid - menyertai - pertandingan lukisan

- melukis - sempena Hari Kebangsaan

- mewarna - di dewan

Jawapan contoh: Beberapa orang murid yang menyertai pertandingan lukisan sedang melukis dan mewarna lukisan mereka sempena Hari Kebangsaan di dewan.

Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna.

Calon tidak perlu mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini dikatakan sebagai pengulangan ayat.

Pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang disediakan tidak cukup, mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan.

Jika tulisan kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas dan teratur.


d. Langkah keempat

Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan daripada membina ayat pasif.

Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan perkataan yang calon tidak pasti ejaannya. Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah.

Begitu juga dengan kosa kata atau perbendaharaan kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara “memangkas” dengan “mencantas”, dan “membelah” dengan “mengerat”. Maknanya berbeza mengikut keadaan atau konteks ayat.

Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang berbeza. Contohnya, “Ayah menjual ikan” dengan “Ayah penjual ikan”. Kedua-dua ayat ini membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan.

Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina bermula dengan huruf besar.

Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika calon menggunakan nama orang, pastikan perkataan awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas.


(b) Bahagian B

Untuk menjawab soalan bahagian ini, calon perlu banyak membaca bagi menghasilkan karangan yang baik. Masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini ialah 40 minit.

Petua untuk Bahagian B, calon mesti menggunakan kaedah FMK iaitu Formula Menulis Karangan, iaitu kaedah menulis karangan berdasarkan perenggan 233332. Setiap karangan mempunyai enam perenggan.

233332 bermaksud perenggan pertama dan keenam mempunyai dua ayat, manakala perenggan kedua hingga kelima, masing-masing tiga ayat.

Calon dinasihatkan agar selang satu baris antara perenggan yang dibuat agar karangan dihasilkan kelihatan lebih kemas.

Untuk menghasilkan karangan yang baik, calon haruslah melakukan empat langkah.


a. Langkah pertama

Pilih soalan. Calon mesti membaca semua soalan terlebih dahulu sebelum memilih soalan yang hendak dijawab.

Pilih soalan yang banyak isi berdasarkan pengalaman calon agar mudah untuk menulis karangan. Ini kerana ada juga karangan yang senang tajuknya tetapi calon sukar mencari isinya.

Calon juga perlu mencari kunci soalan, kehendak soalan, format dan jenis karangan. Contohnya;

Pada suatu petang, anda bersiar-siar dengan seorang rakan di tepi pantai. Tiba-tiba anda terdengar jeritan orang meminta tolong. Ceritakan tindakan anda dan kawan anda ketika itu.

Kunci soalan ini ialah “Ceritakan tindakan”. Kehendak soalan ialah “menceritakan tindakan selepas mendengar jeritan”. Manakala format dan jenis karangan ialah cerita dan karangan tidak berformat.

Langkah dicadangkan ini boleh membantu calon mengelakkan daripada menulis karangan terpesong.


b. Langkah kedua

Merangka karangan. Gunakan kaedah merangka karangan yang telah dipelajari sama ada “Peta Minda”, “Melakar Isi” atau “Teknik Penyoalan”.


c. Langkah ketiga

Menulis karangan. Pastikan ada enam perenggan bagi karangan yang calon tulis.

Pastikan calon tidak tersilap menulis perenggan pendahuluan kerana ada calon yang masukkan isi dalam perenggan pendahuluan. Contohnya:

1. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Antaranya ialah kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan.

2. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Kita boleh melancong di dalam atau luar negara.

Jawapan yang tepat sebagai pendahuluan adalah jawapan 2.

Untuk karangan fakta, calon boleh menulis karangan dengan menggunakan kaedah ICK, iaitu isi, contoh dan kesan atau IKC, iaitu isi, kesan dan contoh.

Untuk perenggan penutup, calon boleh gunakan pelbagai jenis penutup seperti berbentuk rumusan, nilai, pantun, penegasan, peribahasa, kata hikmah dan pendirian.


d. Langkah keempat

Semak karangan. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul sebelum beralih untuk menjawab Bahagian C.


(c) Bahagian C

Bahagian C memperuntukkan markah sebanyak 20 dan masanya 20 minit sahaja. Oleh itu, calon mesti bijak menggunakan masa untuk menjawab soalan bahagian ini.

Konsep Bahagian C ialah mengecam nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan diberikan. Lantaran itu, calon mesti mengecam, mencari, mengenal dan mendapatkan nilai murni atau pengajaran yang terkandung dalam petikan itu.

Calon juga mesti tahu membezakan antara perbuatan dengan nilai murni atau pengajaran.

Contohnya: Abang mengucapkan terima kasih kepada adik kerana mengeluarkan barang-barang dari dalam bilik itu.

Pengajaran bagi ayat ini ialah “menghargai”, manakala perbuatan yang menunjukkan adanya pengajaran ialah “Abang mengucapkan terima kasih”.

Membezakan antara perbuatan dengan pengajaran penting agar calon tidak tersilap mengulas pengajaran yang sepatutnya.

Untuk menghasilkan jawapan yang baik, empat langkah dicadangkan.


a. Langkah pertama

Baca petikan sekali lalu untuk memahami kandungannya. Kemudian, baca sekali lagi dan gariskan perkataan yang menunjukkan terdapatnya nilai murni atau pengajaran.

Contohnya: Zaidi selalu mengulang kaji pelajaran waktu malam.

Perkataan yang menunjukkan ada pengajaran ialah “mengulang kaji”.

Walaupun perlu mengulas lima pengajaran sahaja, calon dinasihatkan agar mencari seberapa banyak pengajaran yang ada dalam petikan.


b) Langkah kedua

Calon perlu memilih lima pengajaran yang ingin diulas dan binalah rangka ulasan. Contohnya:

Pengajaran Perbuatan Agar atau Siapa

Rajin mengulang kaji pelajaran - lulus periksa

- Zaidi


c) Langkah ketiga

Membina ulasan lengkap.

Contohnya: Kita mestilah rajin mengulang kaji pelajaran agar lulus peperiksaan seperti Zaidi.

Ulasan mesti ditulis dalam satu perenggan. Oleh itu, gunakan penanda wacana agar ayat yang dibina lebih menarik.

d) Langkah keempat

Semak ulasan yang telah ditulis. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul.

Oleh sebab masa diberikan untuk menjawab ketiga-tiga bahagian dalam kertas ini agak singkat, iaitu 1 jam 15 minit, calon perlu bijak menguruskannya. Dicadangkan;

  • Bahagian A - tiga minit faham gambar, lima minit tulis ayat dan dua minit untuk menyemak.


  • Bahagian B - 10 minit faham soalan dan bina rangka karangan, 25 minit hasilkan karangan lengkap dan lima minit lagi untuk semakan.


  • Bahagian C - Lima minit cari dan senaraikan nilai murni atau pengajaran, 10 minit tulis ulasan lengkap dan lima minit lagi menyemak.


  • Masa lima minit terakhir, gunakan untuk semak semua jawapan Bahagian A, B dan C.


  • Monday, 17 October 2011

    TATABAHASA

    Tatabahasa
     
     
    1.       Secara umumnya tatabahasa bahasa Melayu mencakupi dua bidang iaitu morfologi dan sintaksis
     
    2.       Morfologi ialah bidang yang mengkaji struktur, pembentukan kata dan golongan kata.
     
    3.       Dalam morfologi, unit terkecil yang mempunyai makna dan tugas nahu ialah morfem.
     
    4.       Para pelajar juga perlu mengetahui maksud istilah morfem dan kata. Ini kerana kedua-dua adalah berbeza dari segi fungsi dan konsep.
     
    Morfem
     
    1.       Morfem ialah unit terkecil yang menjadi unsur perkaaan.
     
    2.       Sekiranya kata tidak boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, maka kata-kata ini erdirid aripada satu unit atau satu morfem. Misalnya minum.
     
    3.       Minum tidak akan berfungsi dan memberi makna jika dipecahkan kepada mi dan num
     
    4.       Sebaliknya, kata diminum boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu di dan minum.
     
    5.       Kesimpulannya, perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem.
     
     
     
    Latihan
     
    Berapa bilangan morfem bagi setiap perkataan berikut:
     
          i.        memperjuangkan
         ii.        memperlekeh
       iii.        perjuangan
       iv.        menduduki
         v.        dikasari
     
     
     
    Morfem dapat dibahagikan kepada dua jenis seperti berikut:
     
     
     


     
     
     
     
     
     
     
     
     
     
     
     
     
     
     

    Morfem bebas
    Morfem terikat/imbuhan
    1.       Dapat berdiri sendiri, misalnya, minum, cuti, sekolah, periksa
    2.       mempunyai makna sendiri
    1.       Bentuk imbuhan, misalnya, mem, per, kan, ber
    2.       Tidak mempunyai makna, tapi mempunyai fungsi tatabahasa atau nahu. Boleh mengubah makna sesuatu kata, dan seterusnya makna ayat.
     
     
     
     
    Morfem terikat/imbuhan pula boleh dibahagikan seperti berikut: