nuffnang

Friday, 2 December 2011

Karangan Jenis Cerita

PUTERI SAADONG


PUTERI SAADONG BERAKHIR DI BUKIT MARAK?


Pemerintahan Puteri Saadong dikatakan berakhir pada kira-kira menjelang kurun ke-18, di akhir-akhir pemerintahan baginda tidak langsung disebut baik mana-mana juga buku sejarah, bahkan cerita-cerita lisan dari penduduk-penduduk negeri Kelantan pun tidak didapati, puas juga saya menjelajah keseluruh negeri Kelantan, ke Kampung-kampung yang jauh di pendalaman dan pernah juga saya menajalankan kajian di bukit Marak yang dikatakan tempat akhir sekali Puteri Saadong bersemayam tidak saya temui bahan-bahan yang boleh menolong mengesan lingkaran sejarahnya yang berikut.


Dengan berakhirnya pemerintahan Raja Abdul Rahim yang menggantikan pemerintahan Raja Abdullah di Kota Mahligai dan juga pemerintahan Puteri Saadong di Bukit Marak maka muncul semula pemerintahan di Jembal, iaitu pemerintahan Sultan umar (Raja Umar), baginda ini ialah adik kepada Raja Loyor, dan pangkat bapa saudara pula kepada Puteri Saadong.


Pemerintahan baginda ini dikatakan bermula pada tahun 1675, baginda mempunyai beberapa orang putera dan puteri, putera sulung baginda bernama Raja kecil Solong yang dirajakan di Kota Teras (di Kampung Teras dekat Kampung Mentuan), seorang lagi putera baginda bernama Raja Ngah atau dipanggil juga Raja Hudang memerintah di Tebing Tinggi Pusaran Buah (Kampung Tanjung Chat), seorang puteri Sultan Umar bernama Raja Pah telah berkahwin pula dengan Tuan Besar Long Bahar seorang putera raja yang datang dari Patani (dalam negeri Thai).


Mengenai Tuan Besar Long Bahar pula menurut Ringkasan Cetera Kelantan yang ditulis oleh Datuk Paduka Raja Kelantan Nik Mahmud bin Ismail adalah putera Wan Daim ataudisebut juga Datuk Pangkalan Tua, raja dari negeri Petani yang zuriatnya berasal dari keturunan anak-anak Raja Bugis bernama Paqih Ali.


Tuan Besar Long Bahar mempunyai beberapa orang saudara iaitu Tuan Solong Kelantan, Tuan Senik Genting dan Datuk Pasir Petani. Oleh kerana terjadinya perselisihan keluarga maka Tuan Besar Long Bahar telah merantau ke Negeri Kelantan dengan membawa bersama seorang putera yang bernama Long Sulaiman, dan di Kelantan Long Besar berkahwin pula dengan Raja Pah puteri Sultan Umar, kemudian Tuan Besar Long Bahar berpindah membuka sebuah tempat yang diberi nama Kota Kubang Labu (dalam Wakaf Baru sekarang).


Dalam tahun 1721 Sultan Umar telah mangkat dan baginda inilah juga yang disebut atau digelar raja Udang yang mana makamnya terdapat masa ini didalam kawasan sawah padi kira&127;&127;&127;&127;-kira dua rantai jauhnya dari sekolah Rendah Kebangsaan Kedai Lalat, begitu juga dengan Raja Bahar kekanda baginda yang memerintah Jembal yang mangkat pada tahun 1675 yang digelar raja ekor yang makamnya terdapat sekarang ini dikampung Tok kambing, Mukim Sering dekat Kota Bharu.


Dengan kemangkatan Sultan umar makam putera sulung baginda yang bernama Raja Kecil Solong yang sedang memerintah di Kota Teras tidak mahu mengambil alih pemerintahan di Jembal dari ayahndanya, dan dengan persetujuan baginda jugalah lalu diangkat adik iparnya iaitu Tuan Besar Long Bahar menjadi raja di Jembal, dan dengan itu Kota Kubang Labu diserahkan kepada pemerintahan putera baginda yang bernama Long Sulaiman, putera ini ialah dari isteri baginda di Patani.


Apabila pemerintahan Jembal dan juga pemerintahan di Kota Kubang Labu terserah kepada pemerintahan Tuan Besar Long Bahar dan putera baginda maka berakhirlah satu peringkat pemerintahan yang berasal dari zuriat Raja sakti yang memerintah Jembal, dan pada peringkat ini pula maka zuriat keturunan dari Tuan Besar Long Baharlah yang memerintah Jembal juga Kota Kubang Labu keturunan dari Tuan Besar Long Bahar ini jugalah asalnya raja-raja yang memerintah Negeri Kelantan hingga sekarang ini.


Dalam tahun 1977 dan seterusnya hingga tahun-tahun yang kemudian saya telah menjalankan kajian dibeberapa tempat disekitar Kedai Lalat yang letaknya kira-kira 7 batu dari bandar Kota Bharu, di kampung tersebut terletaknyamakam-makam Raja Loyor , iaitu ayahnda Puteri Saadong, menurut cerita dari penduduk-penduduk kampung sekitar yang saya dapati bahawa pada suatu ketika dulu terdapat beberapa orang siam yang datang untuk mengorek makam tersebut, kononya orang siam tersebut bermimpi bahawa didalam makam tersebut terdapat sebilah keris yang dianggap keramat atau mempunyai kuasa ghaib, begitu juga saya diberitahu pernah disuatu ketika ada orang-orang mencuri serpihan batu nisannya yang dibuat dari batu marmar, beberapa hari kemudian serpihan itu dipulangkan semula, menurut orang yang mengambil serpihan tersebut bahawa ia sering diganggu mimpi yang menakutkan.


Makam Raja Udang atau Sultan Umar mempunyai beberapa kepercayaan pula, makam ini terletak tidak jauh dari Masjid Kedai Lalat, waktu saya melawat ke makam tersebut saya dapati ada sebuah batu besar yang disebut batu hampar terletak berdekatan dengan makam tersebut, orang kampung disekitar ada yang percaya batu tersebut mempunyai kuasa-kuasa ghaib, batu tersebut sepanjang tiga kaki dan lebarnya lebih kurang dua kaki, tebalnya kira-kira enam inci (6 inci), tidak sesiapa yang berani mengambil batu tersebut walaupun pada hemah saya batu tersebut sangat baik dibuat tempat membasuh kain baju, saya percaya batu tersebut digunakan untuk membuat binaan makam, boleh jadi kerana besarnya tidak mencukupi maka lalu ditinggal begitu saja.


Saya juga telah melawat sebuah makam lagi di Kampung Tok Kambing iaitu kira-kira sebatu jauhnya dari Kedai Lalat, makam tersebut ialah dikenali sebagai makam Raja Ekor atau Raja Bahar, makam ini terdapat binaan yang dibuat dari batu pejal, sungguh menarik kerana terdapat ukiran yang terpahat, ukiran tersebut menggambarkan seekor burung (boleh jadi Burung Bangau) sangat menghairankan saya kerana biasanya perkuburan islam tidak menggambarkan benda-benda hidup saperti haiwan-haiwan.


Pahat yang berbentuk burung biasanya mempunyai pengaruh-pengaruh dari utara terutama dari Negeri China (meliputi negeri-negeri di Indo-China), adakah Raja Ekor ini seorang raja yang berasal dari Indo-China ataupun boleh jadi batu makam tersebut sengaja ditempa di Chempa (Republik Khamer) yang waktu di zaman dulu adalah pernah menjadi sebuah kerajaan yang umat islam dan pengaruh islam. Inilah satu perkara yng ahli-ahli penyelidik harus menjalankan pula satu kajian yang lebih mendalam, seelok-eloknya meninjau pula kenegri-negeri di Indo-China untuk melihat makam-makam Islam di zaman dulu yang banyak terdapat di negara tersebut, dapatlah dibuat perbandingan dengan makam-makam raja-raja Jembal yang terdapat di Kelantan terutama makam Raja Ekor yang masih menjadi mesteri.


PUTERI SAADONG BUNUH SUAMI KERANA CEMBURU.


Catitan Ibnu Batutah tentang negeri yang disebut Kilu-Kerai itu kurang jelas, baik tentang letak negeri tersebut dan juga gaya pemerintahan Raja Perempuan yang disebut Urd-uja itu, ialah satu perkara yang sangat rumit dapat dikesan oleh pakar-pakar sejarah.


Dengan keterangan yang sebegitu sedikit maka kita tidaklah boleh memberi kata putus bahawa Kilu-Kerai itulah yang sebenarnya Kuala Kerai yang terdapat di Negeri Kelantan sekarang ini, walau bagaimanapun perkara ini boleh diselesaikan jika sekiranya ada pakar-pakar sejarah yang betul-betul menjalankan penyelidikan khas mengenai perkara tersebut.


Dari beberapa keterangan yang diperolehi yakni berdasarkan dari hikayat-hikayat lama dan juga lain-lain catitan sejarah, adalah Negeri Kelantan telah wujud pemerintahan beraja yang berteraskan agama Islam pada kira-kira awal kurun ke 15, dikatakan raja yang mula-mula memerintah Kelantan yang dapat dikesan ialah Maharaja K'Umar atau disebut juga Raja K'Umar, pemerintahan baginda adalah sekitar tahun masehi 1411, tidak diketahui dimana letaknya pusat pemerintahan baginda, sesetengah ahli sejarah tempatan percaya pusat pemerintahan baginda terletak di Pulau Sabar, iaitu sebuah pulau yang terletak di tengah sungai Kelantan berhampiran dengan Kampung laut, pulau tersebut pada masa ini telah tenggelam.


Selepas pemerintahan K'Umar muncul pula pemerintahan Sultan Iskandar, pemerintahan baginda berakhir pada tahun 1465 masehi kerana dibinasakan oleh Angkatan Perang Siam (Thai), kononnya baginda dan lebih 100,000 rakyat Kelantan telah dapat ditawan dan dibawa kenegeri Siam, tidaklah diketahui tentang nasib raja tersebut adakah baginda mangkat di Siam atau juga dihantar pulang ke Kelantan.


Kira-kira pada tahun masehi 1477 sebuah angkatan perang dari Melaka yang diperintah oleh Sultan Mahmud telah datang menyerang dan mengalahkan Kelantan, Sultan Mansur iaitu Sultan Kelantan telah dapat ditawan, begitu juga ditawan ketiga-tiga puteri baginda iaitu Puteri Unang Kening, Cubak dan Cuban. Puteri Unang Kening yang paling jelita itu kemudian diperisterikan oleh Sultan Mahmud Shah, maka setelah Sultan Mansur Shah mengaku tunduk kepada pemerintahan Melaka lalu baginda diangkat semula menjadi sultan Kelantan, sejak itu negeri Kelantan dikira sebagai jajahan takluk Melaka.


Sultan mansur Shah mangkat pada kira-kira tahun masehi 1526, putera baginda yang bernama Raja Gombak telah dilantik menjadi pemerintah Kelantan, baginda bersemayam di Pulau sabar juga, dalam tahun 1548 Raja Gombak telah mangkat dengan tidak meningggalkan zuriat, oleh itu anak saudara baginda yang bernama Raja Ahmad telah dilantik menjadi pemerintah Kelantan, baginda bergelar Sultan Ahmad, menurut beberapa punca sejarah Sultan Ahmad ini mempunyai seorang puteri yang sangat jelita yang bernama Puteri Cik Wan Kembang, dan sewaktu Sultan Ahmad mangkat puteri ini masih kecil lagi, lalu dil;antik aeorang anak raja dari Johor yang bernama Raja Husain memangku raja dengan bergelar Sultan Husain.


Sultan Husain yang memerintah kelantan itu dikatakan mangkat pada tahun 1610, dengan itu lalu dilantik Cik wan Kembang menjadi pemerintah Kelantan. Raja perempuan Kelantan ini dikatakan berpindah dari Pulau Sabar ke sebuah tempat yang sangat jauh di pendalaman iaitu Gunung Cinta Wangsa (terletak kira-kira 27 batu ke tenggara Kuala Kerai).


GANJIL


Mengapa baginda berpindah begitu jauh dari tebing sungai Kelantan adalah satu perkara yang sungguh ganjil, biasanya pemerintahan raja-raja di zaman dahulu adalah memilih tempat-tempat yang berhampiran dengan sungai, kerana sungailah yang menjadi jalan dan perhubungan yang penting ketika itu.


Harus jugalah pada fikiran raja perempuan itu bahawa tempat tersebut lebih selamat dan tenteram dari apa juga gangguan luar, terutama sekali gangguan dari pemerintahan Siam yang dianggap kuasa yang teragung ketika itu.


Dalam jangka yang sama di zaman pemerintahan Cik Wan Kembang, atau pada pedagang-pedagang bangsa Arab disebut Cik Siti (Cik Siti wan Kembang), maka di Negeri Kelantan telah wujud sebuah lagi pemerintahan beraja yang berpusat di Jembal (Kedai lalat sekarang iaitu kira-kira 6 batu dari bandar Kota Bharu). raja yang memerintah disitu bernama Raja Loyor putera Raja Sakti yang berasal dari Kedah.


Ada sesetengah ahli sejarah tempatan berpendapat yang Raja Loyor berkahwin dengan Namng Cayang yang dikatakan seoarang raja perempuan Pattani yang melarikan diri ke Kelantan, dari perkahwinan itu mereka beroleh seorang puteri yang diberi&127; nama Puteri Saadong, Puteri Saadong inilah yang kemudiannya diambil oleh Cik Siti Wan Kembang menjadi anak angkatnya, kerana baginda sendiri tidak mempunyai anak. Puteri Saadong pula berkahwin denban sepupunya yang bernama Raja Abdullah, kemudian Raja Abdullah telah dilantik menjadi raja di tempat yang bernama Cetak (dalam Jajahan Pasir Mas). Tidak lama di situ Raja Abdullah berpindah pula bersemayam di Kota Mahligai (dalam Daerah Melor sekarang).


Setelah Raja Abdullah dan Puteri Saadong berkerajaan di Kota Mahligai, maka Cik Siti Wan Kembang pun balik semula bersemayam di Gunung Ayam, setelah itu tidak lagi didapati cerita tentang Cik Siti Wan Kembang adakah baginda berpindah ke tempat lain atau mangkat di tempat tersebut.


Memanglah satu perkara yang sukar untuk mengesantentang kedudukan tempat semayam Cik Siti Wan Kembang yang sebenarnya, kerana di negeri Kelantan terdapatdua buah gunung yang bernama Gunung Ayam, sebuah terletak kira-kira 17 batu ke barat Gua Musang, gunung tersebut setinggi 2,945 kaki, terletak pula terlalu jauh dirimba yang sangat sukar dijalankan penyelidikan, sebuah lagi Gunung Ayam terletak dekat dengan sempadan negeri Terengganu iaitu kira-kira 15 batu ke timur laut Kuala Kerai, gunung tersebut setinggi 2,674 kaki, terletaknya pula jauh jauh ke dalam rimba. Gunung Ayam yang mana satu menjadi tempat dan pusat pemerintahan Cik Siti Wan Kembang.


Waktu saya melawat makam Tuan Tabal atau nama batang tubuhnya Tuan haji Abdul samad bin Muhammad, seorang tokoh pengembang agama Islam yang terkenal di negeri Kelantan, yang meninggal dunia pada tahun 1891 dan dan dimakamkan di perkuburan Banggul, jalan ke Pantai Cahaya Bulan (Pantai Cinta Berahi), saya juga telah diberitahu oleh Encik Nik Abdul Rahman bin Nik Dir yang memandu saya ke makam tersebut bahawa tidak berapa jauh dari makam Tuan Tabal itu terdapat sebuah makam lama yang sangat cantik dibina dari batu pejal serta berukir pula, makam tersebut orang-orang Banggul menyebut Makam Cik Siti, saya juga telah makam tersebut, kesimpulannya dari kajian saya tidak syak lagi makam tersebut adalah sebuah makam lama dari seorang perempuan yang dari keturunan raja-raja atau orang-orang besar juga, dan seni ukir pada binaan makamnya menggambarkan seni ukir yang hampir persamaannya dengan makam-makam di jembal dan juga makam-makam di permakaman DiRaja Langgar, adakah ini yang sebenarnya makam Cik Siti Wan Kembang adalah satu perkara yang sangat menarik dan perlu dibuat kajian yang lebih teliti.


NISAN


Berdasarkan tanah perkuburan Banggul saya yakin adalah satu tanah perkuburan yang sangat lama, mungkin tanah perkuburan tersebut telah digunakan beratus-ratus tahun lampau, di perkuburan Banggul itu juga akan memperlihatkan kepada kita berbagai-bagai jenis bentuk batu nisan yang ganjil-ganjil serta ada pula yang berukir dan bertulis ayat-ayat Quiran yang sangat cantik dan menarik.


Dengan berakhirnya pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang tidak dapat dikesan di akhir pemerintahannya, maka muncullah pemerintahan Raja Abdullah di Kota Mahligai.


Pemerintahan Raja Abdullah berakhir pada tahun 1671 iaitu apabila baginda mangkat dibunuh oleh isterinya Puteri Saadong, lalu Puteri Saadong melantik pula Raja Rahim anak Raja Abdullah merajai Kota Mahligai. Tidak lama setelah Raja Rahim memerintah baginda kemudian dibunuh pula oleh rakyatnya di tepi tasik Lelayang Mandi. Dengan kemangkatan Raja Rahim maka berakhirlah pemerintahan beraja di Kota Mahligai.


Konon menurut cerita Puteri Saadong telah lama ditawan dan di bawa ke Siam (Thailand) iaitu ketika tentera-tentera Siam datang melanggar Kelantan waktu mereka mula-mula berkahwin dan bersemayam di Kota Mahligai, selepas beberapa tahun Puteri Saadong di Siam, baginda di hantar balik ke Kelantan. Alangkah terkejutnya Puteri Saadong bila mendapati yang suaminya Raja Abdullah telah berkahwin lain, maka dari punca itulh berlakunya pertengkaran dan berakhir kemangkatan Raja Abdullah dengan tikaman pacak sanggul isterinya.

Thursday, 20 October 2011

Karangan Jenis Laporan

Karangan Jenis Laporan.

· Karangan jenis ini menghendaki anda melaporkan sesuatu peristiwa yang didengar atau dilihat.

· Hendaklah disampaikan dengan tepat dan mudah difahami.

· Dalam membuat karangan berbentuk laporan , kamu hendaklah menggunakan butir-butir yang munasabah atau lojik.

· Kamu perlu memastikan jenis laporan, sama ada laporan aktiviti persatuan, perayaan, sambutan, perasmian, atau lawatan ke sesuatu tempat.

· Untuk laporan aktiviti persatuan sertakan nama ahli jawatankuasa, sejarah penubuhan, jumlah ahli, dan aktiviti sepanjang tahun. Pelapor mesti berjawatan setiausaha.

· Untuk laporan lawatan pula , tulis apa yang dilihat, dirasa, dan dialami serta kesan lawatan terhadap pembelajaran.

· Penulisan mengikut perkembangan peristiwa, yang dahulu didahulukan.

· Gunakan bahasa yang ringkas dan padat

Tajuk Laporan : Ditulis dengan huruf besar pada setiap awal kata dan digaris.

atau ditulis dengan huruf besar semuanya. Tajuk hendaklah ditulis ditengah-tengah.

Boleh ditulis dalam dua baris jika tajuk terlalu panjang.

Isi Laporan : Bermula dengan pendahuluan dan diakhiri dengan penutup.

Pengakuan pelapor: Ditulis di sebelah kiri selepas perenggan terakhir.

Tarikh : Ditulis di sebelah kanan laporan,setentang dengan pengakuan pelapor.

Tandatangan pelapor Ditulis di sebelah kiri bahagian bawah selepas pengakuan pelapor.

Nama Pelapor : Ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan selepas tandatangan.

Jawatan Pelapor : Ditulis di sudut kiri bahagian bawah laporan dan dibubuh tanda koma di

hujungnya .

Seterusnya ditulis nama persatuan yang diwakili

Contoh Karangan Laporan.

Tajuk : Andaikan bahawa anda setiausaha sesuatu persatuan di sekolah anda. Anda dikehendaki menyediakan laporan tentang kegiatan-kegiatan yang telah dijalankan oleh persatuan tersebut .Sediakan laporan itu selengkapnya.

Rangka:

1.Pendahuluan:

penubuhan persatuan-anggota persatuan-tujuan penubuhan

2.Isi

a) kegiatan-peraduan menulis esei tentang sains-pemenang

b) ceramah -pensyarah dari USM

c) gotong-royong membersihkan kawasan sekolah

d) lawatan ke Taman Ular

3.Penutup

-berterima kasih kepada guru penasihat.

KARANGAN

Laporan Kegiatan Persatuan Matematik Dan Sains Sekolah Kebangsaan Darau.

Persatuan Matematik dan Sains dibentuk pada tahun 1982.Anggota-anggota persatuan ini berjumlah 60 orang. Mereka terdiri daripada pelajar Tahun Empat hingga Tahun Enam. Persatuan ini dibentuk untuk meningkatkan taraf pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Selain itu ,melalui persatuan ini,pelajar dapat bertukar-tukar pendapat tentang pelajaran masing-masing.

Persatuan ini telah menjalankan beberapa kegiatan sepanjang tahun 1995.Kegiatan-kegiatan tersebut berbentuk akademik dan bukan akademik. Kegiatan pertama yang kami jalankan ialah”Peraduan Menulis Esei Tentang Sains”.Sambutan yang diberikan terhadap peraduan ini adalah sangat menggalakkan. Peraduan ini dimenangi oleh Suriani Mat Zin,pelajar Tahun Enam Mawar.

Kami juga menganjurkan ceramah tentang sains dan matematik .Ceramah ini disampaikan oleh pensyarah dari Universiti Malaysia. Selain itu ,kami turut mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Kami memperindahkan kawasan taman pra dengan menanam berbagai jenis bunga dan menamakan pohon-pohon tersebut mengikut istilah sains.

Pada cuti penggal kedua persekolahan,kami mengadakan lawatan ke Taman Ular di Batu Pahat. Sebagai hasil lawatan ini,kami banyak memperolehi pengetahuan tentang penyelidikan yang dijalankan oleh pihak Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia di situ.

Pada keseluruhannya,kami berpuas hati dengan kegiatan-kegiatan yang kami jalankan .Kami juga berterima kasih kepada guru penasihat,Cikgu Rosmini Jaafar yang banyak memberikan bimbingan kepada kami.

Disediakan oleh, 25 Januari 1996

Azmi

_______________

(AZMI SULAIMAN)

Setiausaha Persatuan Matematik dan Sains

Sekolah Kebangsaan Darau, Jerteh,Terengganu.

- mesti ditulis mengikut format ( jika tersalah format, - tolak 3 markah )

a] tajuk / perkara ( jika tiada - tolak 1 markah )

b] nama pelapor ( jika tiada - tolak 1 markah )

- boleh ditulis dalam bentuk karangan biasa / catatan

Tajuk : Sekolah anda telah mengadakan Kempen Penggunaan Bahasa Baku. Anda sebagai setiausaha Badan Pengawas Sekolah diminta membuat laporan tersebut.

LAPORAN KEMPEN PENGUNAAN BAHASA BAKU

Pada 15 hingga 22 Februari 1997 , Sekolah Kebangsaan Darau telah mengadakan Kempen Penggunaan Bahasa Baku. Kempen ini telah dilancarkan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Besut , Encik Ahmad Harif.

Tujuan kempen ini diadakan adalah untuk meluaskan penggunaan bahasa baku di kalangan murid-murid. Di samping itu, kempen ini juga bertujuan untuk memupuk minat pelajar mendalami bahasa kebangsaan.

Sempena kempen ini, pelbagai acara menarik telah dijalankan. Bagi murid-murid Tahun 4, 5 dan 6 pertandingan syarahan, perbahasan, mengarang esei telah dianjurkan. Manakala bagi murid-murid Tahun 1, 2, dan 3 pula diadakan pertandingan membaca sajak dan bercerita.

Pada hari penutup, Tuan Guru Besar melahirkan rasa kesyukuran kerana kempen ini telah berjalan dengan lancar. Para pemenang setiap pertandingan telah diberi hadiah berupa wang tunai dan sijil penghargaan.

Disediakan oleh,

Osman

……………………

( OSMAN BIN JUSOH )

Setiausaha,

Badan Pengawas,

Sekolah Kebangsaan Darau, Jerteh.

Karangan Jenis Syarahan

Karangan Jenis Syarahan.

1. Syarahan biasanya berdasarkan satu-satu tajuk tertentu dan dipertandingkan.

2. Memberi ucapan salam dan menyebut nama-mana tetamu hadir yang dijemput khas (mengikut urutan betul berdasarkan statusnya ) . Tujukan juga salam kepada pihak-pihak lain atau orang ramai yang menghadiri majlis berkenaan.

3. Bahasa yang digunakan harus mudah difahami, padat, tegas dan berkesan serta meyakinkan.

4. Kandungan syarahan adalah berasaskan kepada sesuatu tajuk tertentu yang diberi.

5. jika mengemukakan masalah, calon hendaklah menyelesaikan masalah berkenaan bukannya dijadikan persoalan.

6. kemukakan isi demi isi. Sebelum memaparkan isi , sebut ungkapan seumpama ‘tuan-tuan dan puan yang saya hormati ‘ tuan-tuan dan puan-puan sekalian, para hadirin yang saya muliakan...( tulis ungkapan penegasan ini dalam barisnya sendiri sebelum kita mengemukakan sesuatu isi ).

7. Syarahan mesti menarik agar pendengar tidak merasa jemu

8. kata-kata hikmat, kiasan, jenaka atau peribahasa boleh diselitkan dalam syarahan supaya lebih menarik

9. mengakhiri syarahan dengan memohon maaf / ucapan terima kasih

- mesti di tulis mengikut format ( terpesong format , tolak 3 markah )

a] kata - kata aluan ( jika tidak ada , tolak 1 markah )

b] kata penegasan contoh Tuan-tuan dan puan-puan sekalian dan sebagainya ( jika tiada tolak 1 markah )

Anda dikehendaki menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk ‘Mengisi Masa Lapang dengan Perkara yang Berfaedah’.

Pengenalan kata-kata aluan

ucapan terima kasih

Perenggan ke-2 tajuk syarahan

Perenggan ke-3 melibatkan diri dalam kegiatan ko-kurikulum

dapat menambahkan pengalaman serta ilmu pengetahuan

Perenggan ke-4 membaca untuk mengisi masa lapang

banyak bahan bacaan

aktiviti yang paling berfaedah

Penutup ucapan terima kasih

Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, Guru Besar, guru-guru, rakan-rakan pelajar serta hadirin sekalian. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk memberi syarahan pada hari ini.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Tajuk syarahan saya ialah ‘Mengisi Masa Lapang dengan Perkara yang Berfaedah’. Masa lapang tidak seharusnya dibiarkan berlalu begitu sahaja. Ia perlu diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah.

Ada berbagai-bagai cara untuk mengisi masa lapang. Di antaranya ialah melibatkan diri dalam kegiatan ko-kurikulum. Dengan cara itu ia dapat menambahkan pengalaman serta ilmu pengetahuan.

Ada juga orang yang memilih membaca untuk mengisi masa lapang. Banyak bahan bacaan yang dapat dibaca. Ia merupakan satu aktiviti yang paling berfaedah untuk mengisi masa lapang.

Hadirin sekalian,

Contoh-contoh yang saya telah sebutkan tadi, mendatangkan faedah serta keuntungan. Itulah antara beberapa perkara yang boleh dilakukan sebagai mengisi masa lapang.

Sekian sahaja syarahan saya untuk kali ini. Saya sudahi dengan ucapan terima kasih dan assalamualaikum.

SOALAN: Andaikan bahawa anda terpilih mewakili kelas anda untuk menyampaikan syarahan. Tajuk syarahan itu ialah “Membazir Adalah Amalan Yang Tidak Baik”.Sediakan teks syarahan anda tersebut.

RANGKA

1.PENDAHULUAN.

-ucapan alu-aluan kepada Tuan Pengerusi Majlis,para hakim,Guru Besar ,guru-guru ,dan rakan-rakan sekalian.

2.ISI

a) banyak mendatangkan keburukan-jika terlalu boros berbelanja ,kita tidak akan mempunyai wang pada masa kita memerlukannya-makanan yang dibeli secara berlebihan akan terbuang.

b) membuang masa dengan cara tidak berfaedah adalah amalan buruk-masa itu emas -gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya.

c) membazir air dan elektrik -bil air dan elektrik meningkat -terpaksa mencatu air pada musim kemarau.

3.PENUTUP

membazir sememangnya amalan yang tidak baik -banyak mendatangkan keburukan.

KARANGAN



Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis,para hakim yang bijaksana,Guru Besar,guru-guru,dan rakan-rakan sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Tajuk syarahan saya pada kali ini ialah “Membazir Adalah Amalan Yang Tidak Baik.

Hadirin sekalian,

Kata “membazir “bermaksud berlebih-lebihan menggunakan sesuatu hingga ada yang terbuang. Amalan ini sebenarnya banyak mendatangkan keburukan. Misalnya jika kita terlalu boros berbelanja,kita tidak akan mempunyai wang ketika kita benar-benar memerlukannya. Makanan yang dibeli secara berlebihan mungkin tidak termakan dan akan dibuang.

Selain dari itu, membuang masa dengan cara yang tidak berfaedah adalah satu pembaziran. Bagi seorang murid, masa itu adalah emas. Oleh sebab itu ,kita hendaklah membuat jadual waktu supaya masa kita dapat diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah.

Kita digalakkan juga supaya tidak membazir air dan elektrik. Jika kita membazir air dan elektrik ,kita terpaksa menggunakan wang yang banyak untuk membayar bil-bil berkenaan.

Pada musim kemarau pula,kita akan menghadapi masalah kekurangan air dan terpaksa dicatu.

Oleh sebab masa tidak mengizinkan ,saya terpaksa mengakhiri syarahan saya ini. Sebagai kesimpulannya ,saya ingin menekankan bahawa membazir adalah amalan yang tidak baik dan banyak mendatangkan keburukan kepada kita.

Sekian,terima kasih.

Tajuk : Anda menyertai pertandingan syarahan peringkat sekolah. Tajuk yang telah anda pilih ialah ‘ Faedah Membaca’

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Guru Besar, guru-guru, rakan-rakan dan hadirin sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Tajuk syarahan saya ialah ‘ Kepentingan Membaca’. Membaca adalah satu amalan yang mulia. Membaca boleh memberi manfaat kepada kita semua. Melalui pembacaan, kita dapat mengetahui pelbagai perkara. Contohnya melalui surat khabar. Akhbar merupakan sumber maklumat dan menyiarkan pelbagai peristiwa yang berlaku di seluruh dunia.

Saudara dan saudari sekalian,

Selain mendapat maklumat, membaca juga boleh mengisi masa lapang kita. Jika kita menjadikan sifat membaca sebagai amalan, sudah tentu masa kita tidak terbuang begitu sahaja. Jadi, kita boleh mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti bermain-main dan merayau-rayau di kedai-kedai dan sebagainya.

Di samping itu, membaca boleh membaiki penguasaan bahasa kita. Melaluinya kita boleh menambah perbendaharaan kata.

Oleh itu, kita mestilah menjadikan tabiat suka membaca sebagai amalan hidup. Manusia yang suka membaca adalah manusia yang mempunyai banyak ilmu.

Sekian , saya sudahi syarahan saya dengan ucapan terima kasih.

Kamu telah menyertai pertandingan syarahan sempena Kempen Hijau yang telah diadakan di sekolah kamu. Tajuk syarahan kamu ialah Menjaga Alam Sekitar. Tuliskan syarahan kamu itu.

Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang bijaksana , guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Tajuk syarahan saya ialah ‘Menjaga Alam Sekitar’.

Hadirin hadirat sekalian,

Alam sekitar adalah suasana yang wujud di sekeliling kita. Ini termasuk bumi yang kita pijak dan udara yang kita sedut. Semakin hari alam sekitar kita semakin tercemar.

Antara faktor-faktor pencemaran ialah pengeluaran asap-asap kotor daripada kenderaan dan kilang-kilang, sampah sarap yang sukar dihapuskan seperti longgokkan besi buruk , sungai yang dipenuhi sampah dan bangkai binatang.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Ini jelas membuktikan bahawa hidupan kita adalah terdedah kepada bahaya pencemaran alam sekitar. Oleh itu, kita hendaklah menjaga alam sekitar dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mencemarkannya. Sebagai pengguna, kita hendaklah sama-sama mendisiplinkan diri dan menjaga kebersihan alam sekitar.

Sebagai mengakhiri syarahan ini, saya ingin tegaskan bahawa langkah serius perlu diambil dengan segera dalam usaha menjaga alam sekitar kita. Setiap individu perlu mempunyai kesedaran sivik yang tinggi dalam hal ini. Alam sekitar yang bersih menjamin kesihatan kita.
Sekian, terima kasih.

Karangan Jenis Perbahasan

Karangan Jenis Perbahasan

1. Karangan jenis ini ialah karangan yang ditulis untuk menyampaikan pendapat tentang sesuatu tajuk yang diberikan.

2. Perbahasan terbahagi kepada dua pihak yang mempunyai pendapat yang bertentangan iaitu :

· pihak pencadang

· pihak pembangkang

3. Kedua-dua pihak ini mempunyai pendapat-pendapat yang tersendiri yang hendak dihujahkan.

4. Setelah menulis pendahuluan kemukakan hujah-hujah anda

5. Pastikan kamu telah mengenal pasti terlebih dahulu hujah berkenaan yang pada mulanya dicatatkan secara ringkas.

- mesti di tulis mengikut format ( terpesong format , tolak 3 markah )

a] kata - kata aluan ( jika tidak ada , tolak 1 markah )

‘Menonton televisyen lebih banyak mendatangkan kesan yang buruk’. Berikan pendapat kamu sama ada bersetuju atau tidak bersetuju dengan pernyataan ini.

Pengenalan kata-kata aluan

tajuk yang hendak dibahaskan

Perenggan ke-2 tidak bersetuju dengan tajuk

alat media massa yang terkenal

menyiarkan banyak rancangan

Perenggan ke-3 rancangan berita dan peristiwa dunia banyak berfaedah

dapat mengetahui perkembangan dunia

Perenggan ke-4 banyak rancangan lain dapat menambahkan ilmu pengetahuan

mengetahui sesuatu perkara dengan lebih terperinci

Penutup tegaskan pendapat anda tentang tajuk perbahasan

ucapan terima kasih

Yang dihormati Tuan Pengerusi majlis, Guru Besar, guru-guru, para hakim yang arif, barisan pihak pencadang dan rakan-rakan pelajar sekalian. Tajuk perbahasan kita pada hari ini ialah Menonton televisyen lebih banyak mendatangkan kesan yang buruk’.

Saya bersama-sama rakan saya tidak bersetuju sama sekali dengan tajuk yang diberikan itu. Sebagaimana yang diketahui umum, televisyen adalah suatu alat media massa yang terkenal pada masa kini. Setiap hari, ia menyiarkan berbagai-bagai rancangan seperti filem rencana, berita, drama dan lain-lain lagi.

Rancang berita sama ada berita dalam negeri atau pun berita dunia dan juga laporan peristiwa memang berfaedah kepada penonton. Mereka dapat mengetahui perkembangan dunia dengan duduk di rumah sahaja.

Banyak rancangan televisyen lain yang dapat menambahkan ilmu pengetahuan para penonton misalnya ‘Hari Ini Dalam Sejarah’, ‘Siaran Ke Sekolah-sekolah’ , ‘TV Pendidikan’ dan lain-lain lagi. Filem-filem dokumentari yang sering ditayangkan melalui televisyen dapat membantu pelajar mengetahui sesuatu perkara dengan lebih terperinci.

Berdasarkan contoh-contoh di atas, jelaslah bahawa menonton televisyen mendatangkan kesan yang baik dan bukan yang sebaliknya. Sebelum mengundur diri , sekali lagi saya tegaskan pendirian kami membangkang tajuk di atas. Sekian , terima kasih.

Tajuk : Anda adalah pencadang dalam pertandingan perbahasan peringkat daerah. Tajuk perbahasan ialah ‘Wanita Lebih Baik Bekerja Daripada Tinggal Di Rumah’.

Yang dihormati, tuan pengerusi majlis, para hakim yang adil lagi bijaksana, barisan pembangkang yang dihormati, dan para hadirin sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Sebagaimana yang diketahui, tajuk perbahasan kita pada hari ini ialah ‘ Wanita Lebih Baik Bekerja Daripada Tinggal Di Rumah’. Kami sebagi pencadang tetap menyokong tajuk ini.

Hadirin sekalian.

Pada masa kini, wanita dan lelaki ternyata berada pada tahap yang sama terutamanya daripada segi pendidikan. Wanita kini sudah mempunyai keupayaan untuk memegang sebarang jawatan yang dipertanggungjawabkan kerana mereka mempunyai kelayakan. Jadi, wanita tidak perlu duduk di ceruk dapur sahaja.

Saudara dan saudari.

Sekiranya wanita bekerja, mereka boleh membantu menambahkan pendapatan keluarga. Bagi golongan suami yang berpendapatan rendah sudah tentu menghadapi masalah untuk menyara keluarga, terutamanya mereka yang hidup di bandar. Oleh itu, jika isteri bekerja, bebanan itu menjadi ringan.
Selain itu, terdapat juga pekerjaan yang tidak sesuai dengan kaum lelaki seperti jururawat. Tugas ini mesti dijalankan oleh wanita kerana memerlukan sifat ketekunan, ketelitian, kegigihan, dan kesabaran.

Jadi, sebelum saya menamatkan hujah saya, ingin saya tegaskan bahawa wanita lebih baik bekerja daripada tinggal di rumah. Sekian terima kasih.

Wednesday, 19 October 2011

Karangan Jenis Berita

Karangan jenis berita

1. Perlu memahami betul-betul kehendak soalan.

2. Berita mesti menjawab soalan Apa ? Siapa ? Bila ? Mengapa ? Di Mana ? dan Bagaimana?

3. Apa ?

menerangkan peristiwa yang berlaku dan menjadi persoalan berita

memberi maklumat kepada keseluruhan berita

4. Siapa ?

nama yang terlibat perlu penjelasan lengkap

jika perlu sertakan usia pelaku

5. Bila ?

menerangkan masa peristiwa itu berlaku

tarikh yang tepat

untuk kejadian jenayah ataupun kemalangan perlu letakkan waktu’

1. Mengapa ?

sebab-sebab peristiwa berlaku

jika sebab-sebab belum diketahui , nyatakan “belum diketahui” atau “pihak polis belum mendapat bukti”

2. Di mana ?

tempat kejadian peristiwa

jika nama tempat kurang diketahui umum sebagai contoh, daerah yang terpencil, letakkan sekali nama negeri

Bagaimana ?

menerangkan cara peristiwa itu berlaku dan urutan perkembangannya.

3. Mulakan penulisan dengan mencatatkan ‘tempat’ (huruf besar) diikuti dengan tarikh peristiwa itu berlaku.

Contoh : JERTEH, 24 Disember -

Tulis secara ringkas tentang saripati peristiwa yang berkenaan termasuk tarikh dan masa peristiwa itu berlaku. (Sebaik-baik tulis saripati kepada peristiwa yang berkenaan dalam satu perenggan sahaja.)

4. Pastikan agar pengenalan kamu dapat menarik perhatian pembaca.

5. Gunakan bahasa yang ringkas tetapi padat.

6. Perenggan yang berikutnya ialah tentang huraian-huraian yang lebih ‘panjang-lebar’.

7. Nyatakan bahagian penutup secara ringkas

CONTOH KARANGAN BERITA

SOALAN;

Sepasukan polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta di Kuala Lumpur. Andaikan bahawa anda seorang pemberita,tuliskan berita tentang kejadian tersebut. Panjang karangan berita anda hendaklah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

Rangka.

1. PENDAHULUAN:

Sepasukan polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri kereta -sekitar bandar raya.

2. ISI

a) berjaya mengesan beberapa kereta curi-siasatan dibuat beberapa minggu lalu-beberapa orang ditahan.

b) membuat serbuan di sebuah bengkel membaiki kereta - di Jalan Ipoh - lima orang ditahan -salah seorang ialah

pakar mekanik.

c) polis menjumpai kepingan-kepingan pintu kereta -beberapa plat nombor palsu dijumpai di bengkel tersebut.

3.PENUTUP

seorang lelaki dicari -dapat membantu polis-orang ramai diminta memberikan maklumat tentang lelaki

berkenaan.

CONTOH KARANGAN.

KUALA LUMPUR , 24 Mac - Sepasukan polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta di sekitar bandar raya. Pihak polis berjaya mengesan beberapa kereta curi hasil daripada serbuan tersebut.

Jurucakap polis menyatakan bahawa siasatan mengenai sindiket itu dibuat beberapa minggu yang lalu. Menurut jurucakap itu lagi,beberapa orang telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Hasil daripada maklumat orang ramai,pasukan polis telah membuat serbuan di sebuah bengkel membaiki kereta di Jalan Ipoh. Lima orang ditahan dalam serbuan itu. Seorang daripadanya dipercayai pakar mekanik

Polis menjumpai kepingan-kepingan pintu yang dicuri .beberapa plat nombor kereta palsu dijumpai juga di bengkel tersebut.

Sementara itu,gerakan sedang dijalankan oleh polis untuk mencari seorang lelaki yang bernama Ah Chong .Dia dapat membantu polis untuk memusnahkan sindiket tersebut. Orang ramai diminta tampil ke hadapan sekiranya mempunyai maklumat tentang lelaki berkenaan.

Karangan Jenis Melengkapkan Cerita

Karangan Jenis Melengkapkan Cerita

1. karangan tidak berformat

2. berkebolehan membuat ramalan berdasarkan permulaan atau akhir cerita yang diberi

3. berbentuk cerita, khayalan, pengalaman, ataupun kehidupan binatang.

4. elakkan terpesong tema cerita lain daripada tema yang diberi

5. memahami maksud cerita yang diberi dan mempunyai gambaran yang jelas tentang sesuatu cerita itu.

6. setiap cerita mempunyai nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, tolong-menolong, kasih sayang atau apa saja yang boleh membawa pengajaran.

7. walaupun cerita hanya rekaan, tetapi cerita itu mesti boleh diterima akal.

A. Sudahkan cerita di bawah ini.

Saya mengayuh basikal agak perlahan. Walaupun lampu elektrik menerangi jalan, tetapi saya perlu berhati-hati. Saya bimbang termasuk lubang atau terbabas ke dalam parit. Sambil mengayuh, saya sempat berbual dengan Ahmad yang duduk di belakang. Tiba-tiba saya ternampak susuk tubuh manusia menuju belakang balai raya. Tanpa membuang masa ………

Tanpa membuang masa , saya memberhentikan basikal. Ahmad kehairanan, tetapi saya segera memberitahunya. Ahmad faham. Basikal saya baringkan di tepi jalan raya.

Tiba-tiba saya terdengar cermin pecah. Saya yakin sudah tentu lelaki itu seorang pencuri. Dua bulan lalu kaset dan pinggan mangkuk dicuri orang. Mungkinkah kejadian yang sama akan berulang ?

Pencuri itu mesti ditangkap, kata hati saya. Saya meminta Ahmad mengawasi pencuri itu kerana saya hendak ke rumah Tuk Ketua. Tetapi sebelum sampai di rumah Tuk Ketua, saya nampak ramai orang baru keluar dari masjid. Salah seorang daripadanya ialah Tuk Ketua. Saya masuk ke perkarangan masjid. Di situ saya segera ceritakan apa yang saya lihat. Tuk Ketua segera memberi taklimat . Kemudian mereka segera bergerak menuju ke balai raya.

Sampai di balai raya, seramai lima orang menuju ke bahagian belakang dan sebahagian lagi menjaga bahagian kiri, kanan dan depan. Mereka melangkah serentak merapati balai raya. Lelaki di dalam balai raya itu perasan, tetapi tidak sempat melarikan diri. Lelaki itu akhirnya dapat ditangkap. Kemudian Tuk Ketua mengucapkan terima kasih kepada saya dan Ahmad.

B. Lengkapkan cerita di bawah yang berakhir dengan ayat berikut :

………. Bila kubuka mata, aku melihat ayah dan ibu berada di sampingku. Perempuan yang berwajah ngeri itu telah pergi.

Pada malam itu, aku berseorangan di rumah. Ayah dan ibu masih belum pulang. Di luar, hujan turun dengan lebat, kilat sabung-menyabung.

Aku toleh ke arah jam usang di dinding. Rupa-rupanya sudah hampir pukul satu pagi. Aku semakin risau kerana bayang ayah dan ibuku masih belum kelihatan.

Tiba-tiba kedengaran ketukan bertalu-talu di pintu hadapan. Aku bergegas membuka pintu. Sebaik sahaja pintu terkuak, alangkah terkejutnya aku kerana seorang perempuan bertudung hitam berada di situ. Wajahnya amat mengerikan.

Dia memandang tajam ke arahku. Peluh dingin mula keluar dari badanku. Dia cuba menerkamku. Belum sempat dia menyambar tubuhku, aku menendang badannya lalu tersungkur ke tanah. Aku menutup pintu. Tiba-tiba matu kabur. Aku terus terjatuh. Bila kubuka mata , aku melihat ayah dan ibu berada di sampingku. Perempuan yang berwajah ngeri itu telah pergi.

Karangan Jenis Cereka / Pengalaman / Keperihalan / Gambaran / Situasi

memerlukan kekuatan imaginasi dan daya kreatif yang tinggi.

Sesuatu yang ditulis itu mungkin berdasarkan pengalaman , pembacaan, atau perbualan.

cereka

Suatu hari ketika kamu tinggal sendirian di rumah, kamu telah dikejutkan oleh suara riuh-rendah. Apabila kamu menjenguk ke luar, kamu dapati asap berkepul-kepul naik ke angkasa dari rumah jiran kamu. Ceritakan peristiwa yang kamu saksikan itu.

1. cerita yang hendak ditulis hendaklah berdasarkan tajuknya.

2. cuba menulis cerita yang dapat menarik minat pembaca.

3. jangan terlalu ghairah mereka-reka cerita yang terlalu banyak khayalan kerana ini akan menyebabkan kamu tidak dapat menyampaikan maksud dengan jelas.

4. jangan menulis sampai meleret-leret, berhati-hatilah dengan peruntukan masa yang diberikan

Pengenalan tinggal sendirian

baca buku cerita

Perenggan ke-2 mendengar suara riuh-rendah

menjenguk ke luar

suatu kebakaran berlaku

Perenggan ke-3 ramai orang mula berkumpul

cuba membantu memadamkan kebakaran

membantu memunggahkan barang

Perenggan ke-4 aku terus menelefon pihak bomba

ahli-ahli bomba tiba

Penutup kebakaran dapat dikawal

berasa sungguh gembira

Pada hujung minggu yang lepas, saya terpaksa tinggal sendirian di rumah kerana ibu bapa saya pergi ke tempat kenduri kahwin. Untuk menghilangkan rasa jemu, saya membaca sebuah buku cerita.

Ketika saya leka membaca , tiba-tiba saya terdengar suara riuh-rendah meminta tolong. Saya segera menjenguk ke luar. Alangkah terkejutnya saya apabila saya dapati asap berkepul-kepul keluar dari rumah jiran saya. Suatu kebakaran telah berlaku.

Orang ramai mula berkumpul di situ. Ada yang cuba memadamkan kebakaran dan ada yang menolong memunggahkan barang-barang. Saya mulai berasa bimbang kalau-kalau api itu merebak ke rumah saya.

Tanpa berlengah-lengah lagi , saya terus menelefon pihak bomba. Sepuluh minit kemudian, anggota bomba pun tiba di situ.

Ahli-ahli bomba telah bertungkus-lumus memadamkan api tersebut. Akhirnya kebakaran itu dapat dikawal daripada merebak. Saya berasa gembira kerana rumah saya terselamat daripada kebakaran tersebut.

pengalaman

Tajuk : Tulis satu karangan yang bertajuk ‘ Pengalaman yang Tidak Dapat Dilupakan’

Pada tahun lalu, aku menghabiskan cuti persekolahan di kampung bersama datuk dan nenek.

Pada suatu malam , aku pergi ke rumah Ludin, teman lamaku. Oleh kerana sudah lama tidak berjumpa, kami seronok bercerita. Bila aku sedar malam sudah larut, aku bergegas pulang.

Dalam perjalanan pulang, hatiku tiba-tiba berasa cemas. Walaupun telah lama berjalan, rumah nenek masih juga tidak kelihatan. Aku memandang ke kiri dan ke kanan. Tidak ada sebuah rumah pun di situ. Bulu romaku berdiri tegak. Barulah aku sedar, rupanya aku tersesat jalan.

Tiba-tiba di satu selekoh, aku terpandang satu lembaga menuju ke arahku. Aku berasa amat takut sekali. Aku cuba membuka langkah. Tetapi belum sempat aku melangkah, kakiku terpijak benda tajam, lalu terjatuh. Kemudian, aku tidak sedarkan diri.

Bilaku membuka mata, kulihat aku sudah berada di rumah datuk. Menurut nenek, datuk menemuiku terbaring di tengah jalan ketika keluar mencariku. Aku menceritakan kepada mereka apa yang terjadi. Datuk dan nenek tersenyum sesama sendiri. Rupa-rupanya lembaga yang aku takutkan itu adalah datukku sendiri.

situasi

Keputusan UPSR telah diumumkan . Anda mendapat keputusan yang cemerlang. Bagaimanakah perasaan anda ?

Saya bersyukur dan bertuah kerana usaha saya selama ini telah pun berhasil. Saya membuat persiapan rapi untuk peperiksaan ini semenjak awal tahun lagi.

Kejayaan ini juga merupakan kejayaan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan saya. Ini kerana dorongan dan bimbingan daripada mereka menjadi kunci kejayaan saya.

Saya juga berasa bangga kerana mampu membuktikan kepada orang ramai bahawa seorang anak kampung daripada keluarga miskin dapat juga berjaya. Saya sedar kemiskinan bukanlah penghalang untuk seseorang itu mencapai kejayaan.

Saya berharap kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada adik-adik saya. Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh untuk peperiksaan yang lain.